Tuesday, 4 February 2014

Dari FB Group ke Syarikat PLT (Pegangan Liabiliti Terhad)

Assalamualaikum.. Dengan Lafaz Bismillah

Pembaca budiman,, tahukah kalian dengan kewujudan 1MFG (1 Malaysia Fertigation Group) yang ahlinya terdiri daripada petani-petani dari seluruh tanahair? 


Sebenarnya group ini dah ditubuhkan sejak dari tahun 2011 dengan wadah hanya suka² untuk berkongsi idea tentang penanaman yang berasaskan fertigasi.  Kebanjiran follower group ini yang terdiri daripada petani² muda dan belia dari seluruh tanah air sejak setahun dua ini memberi isyarat bahawa satu mekasnisme sokongan perlu diwujudkan dikalangan ahli untuk menguatkan lagi ukhwah dan kerjasama antara petani². 


Justeru itu pada tanggal 19.1.2014 maka tertubuhnya 1MFG PLT yang mana menjadi payung dan kesinambungan kepada group yang ditubuhkan selama ini.
 
 

 Tuan Rizal selaku wakil 1MFG EDU (Education Department) HQ
 Our CEO - Tuan Azrin Hashim
 Penerangan tentang 1MFG PLT sebagai sebuah entiti perniagaan oleh tuan CEO
 Pameran ATV
 Prensentaion dari KR (Ketua Rangkaian) negeri²
Seminar keusahawan yang dianjurkan oleh 1MFG PLT bertempat di Politeknik Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 19.1.2014
Dengan sokongan daripada MARDI, Kementerian Pertanian dan Asas Tani, FAMA dan kerajaan negeri, diharapkan usahasama antara ahli dan kemuafakatan dapat diperkukuhkan lebih² lagi apabila 1MFG PLT perlu bersaing dipasaran terbuka.

Rizal 4.2.14

Monday, 3 February 2014

Lestarikan Alam Ini- Penanaman Jagung Mutiara (Pearl -8800 Bi Color Super Sweet Corn F1 Hybrid) Dengan Kaedah Organik Sepenuhnya.

Bismillah
(Artikel ini dihasilkan berdasarkan progress yang sebenar pertumbuhan jagung dari umur 1 hari sehingga 65 hst - hari selepas transplant)

Terimakasih pembaca budiman kerana mengikuti blog saya ini. Kali ini saya ingin berkongsikan kaedah penanaman Jagung Mutiara Manis (8800 F1 Hybrid Bi Color Super Sweet Corn - Lihat dalam gambar).

Mungkin ada diantara pembaca yang tertanya² kenapa saya memilih jenis jagung ini dan bukannya jenis jagung lain seperti Jagung Manis (368 Super Sweet Corn atau 1358 New Hwa Jin Sweet Corn). Ini adalah kerana variety jagung ini susah hendak kita jumpa dijual ditepi jalan selain Cameron Highland. Apapun, saya tak pasti kenapa variety ini tidak begitu popular dikalangan petani di tanah rendah ini. Adakah kerana keadaan cuaca yang panas melampau ke (cuaca tidak sesuai) atau harga benihnya yang amat mahal. Maka ia tidak sesuai ditanam pada skala yang besar. Kalau tak percaya anda cuba check.Kenapa ek? Baru² ini saya ada berbincang dengan seorang kenalan yang menanam jagung manis 7 ekar dari Bota, Perak. Beliau mengatakan selain dari pasaran yang amat terhad jagung (kerana harga yang amat mahal, sukar untuk dijual - sebiji RM3.50) ia juga mempunyai penyakitnya tersendiri iaitu ulat didalam batang. Jadi penggunaan racun yang kerap diperlukan. Almaklumlah namanya manis..hahaha..semua benda nak hurungnya.

 Namun variety ini memang saya amat gemari kerana rasanya yang amat manis dan lemak sehingga boleh dimakan begitu saja..cewah macam lagu KFC!hahaha. Mengikut pengalaman saya yang telah banyak kali menanam jenis jagung ini, untuk mendapatkan hasil yang terbaik, ianya perlulah mengalami proses pemilihan sejak dari biji benih lagi sehinggalah penyediaan tanah. Percayalah, saya pernah mengalami banyak kegagalan untuk menanamnya dan hari ini saya bersedia berkongsikan kaedah yang saya rasa paling sesuai untuk mendapatkan hasil yang boleh diharapkan.

Pemilihan Biji Benih, Penyedian Media (Batas) dan Pengairan.

Pembaca yang budiman, sebelum proses penyemaian dilakukan (2-3 minggu sebelum memulakan proses semaian benih) tanah iaitu tempat dimana anak pokok akan di pindahkan perlulah dirawat. Tempat tanaman atau tanah ini selalunya dipanggil media.  Ini adalah penting supaya banyak nutrien penting boleh didapati apabila proses transplanting ke media dilakukan. Ianya dapat menjamin tumbesaran yang sekata kelak. Kaedah rawatan media yang saya gemari adalah dengan menggunakan microbes (bakteria baik). Kaedah ini adalah tercepat, selamat dan mesra alam. Selain membantu meneutralkan pH tanah, microbs juga dapat menstimulasikan kadar nutrien pada media selain dapat mengawal penyakit yang terhasil dari media tersebut. Mungkin anda biasa dengar tentang EM (Effective Microbes). Media yang telah tersedia perlu di siram dengan EM, FAA dan juga baja organik  seperti bokashi dan baja soya. Waktu siraman EM  dan pembajaan adalah dua minggu sebelum transplanting. Tutup batas seketika supaya microbes dapat membiak dengan sempurna.

Media yang telah didominasi oleh microbes biasanya boleh dibezakan dengan kehadiran banyak cacing tanah, lembut dan mempunyai lumut yang agak kegelapan.
Pembaca sekalian, seperti pokok² yang lain, jagung ini juga perlu disemai didalam tray yang khas supaya pembesarannya adalah sekata, kurang ancaman dari musuh biji benih seperti semut dan siput dan memudahkan kita menjaga. Bukan tak boleh kita tanam terus  ke media/batas, tetapi kita perlu ingat hanya anak benih yang terbaik sahaja yang dipilih. Kadar tumbesaran benih yang ditanam terus kebatas juga adalah terlalu rendah. Maka cara semaian di tray adalah dirasakan paling sesuai. Satu lagi perkara yang AMAT penting untuk kita sebagai panduan adalah apabila menyediakan reserve tray. Menentukan jumlah per/batas juga penting untuk kita menjangkakan berapa banyak anak pokok yang diperlukan (maksudnya anak pokok yang baik dan sihat). Mengikut pengalaman, kadar pertumbuhan anak pokok (keseluruhan) adalah lebih kurang 60% sahaja dari jumlah biji benih yang disemai (ini adalah kerana akibat kerosakan biji benih). Dan daripada jumlah 60% tersebut hanya separuh (50%) sahaja yang dikira sebagai anak pokok yang sihat dan sesuai dipindahkan. JADI:

Untuk tray yang mempunyai lubang 104, 60/100 * 104 lebih kurang 62 lubang sahaja yang akan bercambah. Dan dari 62 anak pokok hanya 50/100 * 62 lebih kurang 31 pokok sahaja yang sesuai untuk dipindahkan. Secara AMnya Untuk tray yang berjumlah 104 benih hanya 31 sahaja yang sesuai untuk dipindahkan. Jadi sekiranya saya menjangkakan satu batas akan mempunyai 70 batang pokok, maka untuk satu batas saya perlu semai 2 tray (lebihkurang).

Benih jagung yang telah disemai kedalam tray selalunya mengambil masa lebih kurang 2-3 minggu sebelum ianya sesuai untuk dipindahkan. Untuk memastikan kesihatan dan tumbesaran anak pokok, proses pemindahan hendaklah dilakukan pada waktu lewat petang . Apabila menarik segmen anak pokok dari tray, pastikan akar tunjangnya tidak putus atau mengalami "kecederaan" yang serius kerana tumbesaran anak pokok yang akan terbantut. Selain itu media perlu dibasahkan terlebih dahulu sebelum pemindahan. Jarak antara pokok adalah bergantung adalah 2 kaki untuk memberikan ruang untuk tumbesaran pokok kelak.
Anak jagung selepas 30 hst (hst - hari selepas transplant)

Untuk projek jagung kali ini, untuk memastikan pengairan yang ideal, saya menggunakan kaedah pengairan secara automasi. Sistem pengairan ini dikawal 100% oleh pemasa automatik yang akan memberikan pengairan secara Mist Sprinkling kepada batas (media). Satu sambungan dari step down connection PE25mm ke PE16mm untuk memberikan cukup tekanan supaya air boleh menjadi Mist. Satu set PE16mm dilalukan terus hingga kehujung batas.
Kawalan automasi pemasa jenis "battery operated". Membenarkan aliran air kepada tanaman melalui masa yang kita tetapkan.
Untuk memberi coverage yang sesuai, outlet nozzle mist diletakkan setiap 3 kaki (bergantung kepada tekanan air semasa. Ini akan memberikan "area coveage" sebaran air yang luas dan mengelakkan pembaziran melalui limpahan air lebihan. Untuk mengelakkan pembaziran juga, saya menguji terlebih dahulu kadar siraman air agar pembaziran tidak berlaku serta batas dan tanaman mendapat pengairan yang mencukupi. Masa ketetapan telah diset sebanyak 4-5 minit dan ianya dianggap memadai buat masa ini.

Baja, Jenis baja dan Kadar taburan baja

Sebenarnya banyak cara yang boleh kita gunakan dalam pembajaan pokok. Ada orang menggunakan cara serata iaitu dari pokok selepas pemindahan sehingga dewasa menggunakan baja yang sama dan dengan kadar yang sama. Bagi saya pula, apabila menanam pokok tengok juga jenis pokok tersebut. Sekiranya pokok mempunyai daun² yang lebar (seperti sayur sawi, bendi, kangkung) atau perlu batang yang besar (contohnya jagung, bendi) ianya perlu unsur N (Nitrogen) dan asid amino yang cukup dan kaw² kena bagi. Kebiasannya unsur ini terdapat dalam baja yang datang dari AYAM.

Umur 1- 3 minggu

Untuk jagung, dari umur 1-3 minggu selepas pemindahan kita perlukan baja yang kurang (untuk mengelakkan pokok menjadi stress). Disini saya masih menggunakan baja dari soya (protein dan asid amino). Untuk foliar pula saya menggunakan FAA (Fish Amino Acid)  dan kadar semburan juga seminggu sekali. Untuk kawalan serangga pula menggunakan garlic oil yang di buat sendiri dengan kadar semburan 2 kali seminggu.
Pokok selepas 30 hst

Umur 4 minggu ke 8 minggu

Untuk usia 4 minggu dan apabila akarnya telah stabil, saya menggunakan baja pallete dari AYAM. Ini untuk memberi batang jagung besar dan daunnya pula hijau dan cantik. Kadar taburan adalah satu sudu besar seminggu sekali. Letakkan dipangkal batang sebab akar pokok jagung setempat sahaja untuk memudahkan penyerapan. Foliar  dan kawalan juga sama seperti umur pokok sebelumnya tetapi garlic oil dicampurkan cuka kayu sebagai kawalan serangga tambahan dengan kadar semburan seminggu sekali.
Cuka kayu- Memberi perlindungan serangga perosak disamping menjadi foliar kepada pokok

Pokok jagung selepas 60 hst

Umur 9 minggu sehingga sebelum tuai


Pada waktu ini dengan baja yang sama (Pallete Ayam) kadar taburan baja perlu digandakan kerana ketika fasa penghasilan biji² (buah) jagung maka akar akan masing² berlumba menarik nutrient dari media. Sekiranya tidak mencukupi dari segi pembajaan, akan terjadi buah yang rongak atau jarang². Satu kaedah yang saya nak kongsi disini adalah kaedah pembenihan spora jagung (Pollination). Disebabkan jarak antara jagung yang terlalu rapat, ditakuti penyebaran spora tidak sekata dan membuat ada buah yang bantut kelak.

Spora jagung yang terdapat pada bunga (saya biasa pilih spora dari pokok yang agak sihat- dipotong)

 Female stigma (Juga selalu disebut janggut jagung..hahaha)

Lalu dah titikkan pada female stigma (Bunga betina)

Lakukan berulang kali kepada stigma buah lain. Pastikan bunga jantan yang sihat dah gebu sahaja digunakan semasa proses pollination.


(bersambung)

Wednesday, 1 January 2014

Kaedah Penanaman Daun Kesum (Vietnamese Coariander)

Bismillah.

Ramai yang bertanyakan kepada saya bagaimana hendak menanam daun yang penting untuk dimasukkan kedalam laksa ni. Memang daun kesum penting dalam masakan seharian kita. Selalu nak beli aje di kedai. Apa kata kita tanam sendiri. Meriahkan kebun kita ye tak? Taklah susah sangat cuma kena tahu kaedah tanamannya aje. Biasanya ada 2 cara saya menyemai daun ini. Tetapi adakah anda sedari bahagian root (akar) pokok kesum akan keluar dari ketak (takuk-segmen).

CARA 1 -  Terus Tanam (Directly Plant)

Dalam dua² kaedah ni benda yang penting adalah rooting powder (hormon penggalak akar) yang digunakan untuk mencelup segment batang daun kesum.

Potong batang daun kesum mengikut segmen. Ini penting kerana akar hanya akan keluar pada segmen tersebut.

 Keadaan asal sebelum pencantasan daun dan segmen dilakukan
 Kerat segmen yang tidak diperlukan
Batang yang telah dicantas. Perhatikan hanya segmen berada dibawah. Nanti kalau dah keluar akar senang nak cucuk kedalam tanah.
Celupkan batang  yang telah dicantas tadi kedalam rooting powder. Pastikan keseluruhan segmen itu tadi diselaputi bahan ini.
Kemudian boleh terus dibenamkan kedalam tanah.

CARA 2 - Biarkan akar keluar dulu

Cara ni yang paling saya suka. Mula² sediakan bekas yang berisi air tanpa (selain dari  air paip).Air tu agak² separuh dari bekas tu. Kenapa separuh? Sebab batang daun kesum ni serap air banyak. Jadi kalau air habis takut nanti batang kering atau terbantut. Jadi lebihkan sikit air ye. Kemudian bancuh air tersebut dengan rooting powder. Kadarnya lebih kurang satu sudu kecil aje. Bancuh air dan bahan tersebut sehingga benar² sebati.
Cantaskan daun dan segmen. Yang ini kena cantas habis pasal kita tak mahu daunnya menjadi busuk apabila direndam nanti.
Akhir sekali rendam didalam bekas berisi bancuhan rooting powder itu tadi. InsyaaAllah (Jika diizikan Allah) akan akan keluar pada 2 hingga 3 hari. Kalau dah ada akar terus cucuk aje dalam tanah.

Kaedah Penjagaan Daun Kesum Selepas Transplant

Selepas Transplant
Bab ni memang fasa crucial. Mana² pokok pun kala masuk fasa ni memang yang akan menentukan samada pokok tersebut survive, mati ataupun bantut. Pokok kesum yang baru dipindahkan, kena hindarkan terkena direct sun light pada tengahari. Ini kerana cuaca yang amat panas akan membuatkan pokok tersebut stress. Jadi dalam minggu pindah ni kena jaga cuma kenakan matahari waktu pagi hingga pukul 11pg dan petang dari pukul 4ptg keatas. Kalau takde masa letakkan semaian tadi dikawasan yang "AGAK" redup. Pastikan juga kelembapan tanah sentiasa tinggi kerana kekeringan tanah boleh membuatkan pokok bantut atau mati.

Seminggu Selepas Transplat
Selepas waktu ini anda akan nampak akan ada pucuk² baru keluar dari batang daun kesum tersebut. Pastikan cahaya matahari yang mencukupi untuk membolehkan pokok ini berfotosintesis. Pastikan juga sistem pengairan yang baik kerana pokok ini memerlukan air yang banyak dan sekata.  Sekiranya kekurangan air, daunnya akan kering dan terbakar.

Jenis Tanah Yang Sesuai
Disebabkan pokok ini memerlukan air yang banyak dan sentiasa perlukan kelembapan, tanah yang mengandugi 30% cocopeat (sabut kelapa) adalah sesuai. Tanah yang baru dibeli perlulah dirawat terlebih dahulu untuk memperkayakan dengan nutrient. Amalan pertanian lestari dengan memasukkan microbes  (boleh dibeli contohnya EM - Effective Microrganisme)seminggu sebelum transplat dibuat. Siraman dengan air tanpa klorin adalah paling ideal untuk memelihara komuniti microbes.

Selamat Mencuba! 1.1.14





Thursday, 10 October 2013

Pentingnya Sistem Pengairan

Bismillah.Assalamualaikum pembaca moga dirahmati Allah hendaknya.
Bagi kalangan yang berminat menanan pokok buah²an ataupun sayur²an masih memandang remeh tentang pengairan pokok yang kita tanam. Cara konvensional iaitu kaedah menyiram air secara berkala (kadang-kadang tu banyak missed..hehehe) berkala la sangaat cam saya dulu..kononnya! Apabila pokok telah ditanam dengan jayanya, maka kita pun dalam waktu yang sama menanam angan² untuk mendapatkan hasil yang lumayan apabila menurut kata si penjual anak pokok tersebut (iyelah biasanya kalau pokok tut pun paling cepat 3-4 bulan dah berbuah). Maka ramailah yang hanya hangat² tahi ayam sehari dua punya dibelai dan dijaga pokok tersebut maka ramailah yang bersandar pada nasib. Sesungguhnya hanya Allah sahaja sandarannya, yang memberikan rezeki tetapi jangan lupa sekiranya tanpa usaha yang berterusan adakah hasilnya nanti akan dijana seperti yang dijangka? Begitu juga apabila kita menanam pokok, banyak faktor yang menentukan kesuburan dan hasilnya seperti pembajaan yang berkala, penyiraman yang berkala, pencantasan dan bermacam² lagi. Apa yang saya hendak ditekan disini adalah penyiraman yang konsisten. Salah satu kaedah yang dapat memastikan pokok anda mendapat sumber air yang mencukupi dalam jangka waktu yang konsisten dan paling penting menjimatkan air adalah dengan memasang sistem penyiraman (water irrigation). Kat bawah ni ada gambar yang ingin saya kongsi dengan kawan² hasil beberapa pemasangan yang telah saya lakukan. njoy!
Gunakan electronic water timer sebagai kawalan air masuk. Ianya tidak memerlukan pendawaian. Jadi jimat kos pendawaian. Alat ini boleh diset periodically (berkala-frequency) iaitu setiap 1 jam - 24 jam dan masa penyiraman (berapa lama nak siram - 1 minit hingga 2 jam).
Sumber air dari paip utama. Alat ini mengawal air iaitu apabila valve dibuka, air akan masuk ke paip titisan. Lihat kat bawah tu ada failed safe valve dari jenis Ball Valve. Sekiranya alat pemasa tidak berfungsi, boleh buat manual ON untuk masukkan air.
Kerja-kerja piping PE16mm yang dilakukan di kebun durian musang king milik En. Hanapi bertempat di Air Pak Abas. Kaedah step down dari PE25 ke PE16 dan akhirnya microtube 3mm.
Microtube 3mm ke direct dripper terus ke pangkal pokok. Lihat kaedah ini memberikan penyiraman air 100%  terus ke pokok. Jimat air dan dapat terus ke pokok. Kalau guna springkler, yang banyak dapat air adalah rumput! Esok rumput yang panjang dari pokok..kehkehkeh!
Setiap step down point dikawal oleh QV valve yang warna kuning tu. Jadi kalau pressure air terlalu kuat sehingga tercampak dripper, boleh dikawal oleh valve tersebut.
Paip sub line PE16mm.Untuk memastikan kaedah step down berjaya.


Kalau kat rumah guna pasu, buat camni.  Kalau ada sistem ni kita tak risau pokok kita dapat air ke..sehari kita set untuk siram 2-3 kali pun dah cukup. Kalau takde sistem camni mulalah nak balik kampung, jalan jauh sikit muka dah risau takut pokok mati.







Tuesday, 10 September 2013

Kawalan Serangga Organik. Yang buat punya dan yang beli punya!

Assalamualaikum Para Pembaca Budiman.

Dewasa ini sering sangat kita dihidangkan dengan berita atau artikel tentang kanser, sakit jantung, sakit buah pinggang dan entah apa 1000 macam penyakit kronik yang lain. Ianya amat menggerunkan dan salah satu sebab utama terjadinya atau punca penyakit ini akibat dari pemakanan. Adakah kita sedar bahawa kita sekarang ini dikelilingi dengan TOKSIK.
Saya ingin berkongsi tentang apa yang toksik ini boleh memudaratkan diri kita ini. Mengikut artikel dari sumber http://www.hmetro.com.my/articles/Toksikpuncapenyakithati/Article/ ini menyatakan punca penyakit hati adalah disebabkan TOKSIK. Memang benar! Hati adalah organ yang meneutralkan toksik yang masuk kedalam badan manusia. So hati² apabila memakan hati dalaman haiwan..satay hati, hati goreng..puhh memang sedap tu! Salah satu organ yang juga bertindak sebagai penyaring toksik adalah buah pinggang. Jadi amat nyatalah kedua² organ penting ini perlulah dilindungi dengan mengamalkan pemakanan yang tidak mengandungi toksik.
Saya terpanggil untuk bercerita tentang usaha untuk memastikan kebun sayur yang saya usahakan ini adalah bebas dari toksik dan racun yang boleh memudaratkan makhluk alam ini. Sasaran saya adalah 100% kebun tanpa racun. Sememang sejak dari mula penubuhan kebun saya ini memang saya sasarkan dengan sasaran sifar racun. Alhamdulillah saya hanya menggunakan racun kulat (Thiram) dan trip (Malaxion) hanya utk pokok terung , itupun semasa pokok masih kecil. Apabila pokok mula berbunga, saya menggunakan kawalan organik dan biologi sepenuhnya. InsyaAllah untuk musim yang akan datang saya akan menggunakan sepenuhnya kawalan organik. Cemburu juga apabila melihat ada kebun rakan² yang telah berjaya mencapai sasaran sifar kawalan racun perosak!
Biar saya berkongsi tips dan jenis kawalan organik dan biologi yang telah dan sedang saya gunakan untuk kebun saya sekarang ni. InsyaaAllah, buat masa ni masih ditahap terkawal dan kelihatan pokok terung segar² belaka. Ingat! Pokok yang segar dan sihat akan menghasilkan buah yang terbaik..Semuanya kehendak Allah! Okey, perlu diingatkan bahawa kawalan serangga organik adalah bersifat kawalan sementara. Ianya bukan racun, tidak membunuh tetapi menghalau serta mencegah (repellent). Jadi sendiri mau ingatlah kalau dah setakat tahap ni je sifat MALAS perlu dibuang jauh² supaya kita sentiasa ingat untuk mendisplinkan diri menyembur cecair kawalan lebihkurang 3 hari sekali. Ada brannnn!
Kawalan serangga organik keluaran Gemilang Agro Land adalah kawalan serangga pertama yang saya cuba. Saya memang berpuas hati dengan keberkesanannya. Nak tahu, beli ni dapat 2 in 1. Apa dia? Selain berkesan keatas kawalan serangga perosak, produk ini juga menjadi foliar kepada daun tumbuhan. Alhamdulillah. Saya memang selesa menggunakannya. Dari info yang saya dapat, produk ini adalah terdiri 20 jenis tumbuh²an yang diproses untuk menghasilkannya.Banyak tuh! Sukatannya 5ml untuk seliter air. Kalau nak try boleh order dengan saya.
Pembaca budiman, baru² ini saya telah membaca artikel tentang penggunaan sabun mandi, sabun basuh dan cecair pembersihan kuman dan bakteria seperti Dettol yang juga berkesan untuk mengawal pembiakan trip, hama dan kulat tumbuhan. Eh, saya pada mulanya tak percaya sebab proper documentation memang xde, cuma testimonial dari kawan² sekebun aje sebagai rujukan. Saya pun cubalah. Cecair pertama saya yang saya sambar adalah pembasuh pinggan. Capai aje, picit masuk dalam botol spray, kasik masuk air then semburr kat semua anak terung dalam polibag. Nak tahu apa jadi? Punah! Habis satu kebun daunya bertompok² terbakar. Korang nak tahu apa puncanya! Lepas saya dah terduduk balik pokok baru saya nak buat post-mortem. Padam muka saya, nak R&D terus buat kat "Line". mana ada org seberani aku!Ahaks!Tapi dari situ banyak yang saya pelajari. (1). Kenalpasti sifat cecair yang kita ingin cuba. Alkali, asid, mengkakis? (2) Jangan overdosage. Saya memang berani, men picit aje botol tu tanpa sukat dahulu. Anak pokok biasa dosage nya sikitlah..betul? (3) Len kali test dulu kat research punya pokok, tengok ada kesan tak? So saya dah buat test bench terdiri dari pokok² yang bukan dalam line (pemain gantian!Ahaks!) (4) jangan sembur pada waktu tengahari cuaca tengah panas terik..pantang oo pokok. Kalau overdosage, tahulah akibatnya. So far, cuma kawalan serangga organik aje yang selamat digunakan pada bila² masa aje.


Sabun Cap Kapak/Cap Buruh

Jadi cecair kawalan kedua yang saya cuba adalah sabun mandi cap Buruh.  Mengikut kawan² seangkatan,  bukan sebarangan sabun boleh guna. Ini adalah disebabkan "chemical reaction" yang ditakuti memudaratkan pokok. Jadi cadangan jenis sabun adalah jenama cap buruh ni lah. Pernah guna tak sabun cap buruh? Orang lama tau la.Ini sabun lama kira old skol la. Org sekarang sabun LUX retilah! Jadi berposaklah saya mencari sabun ni seanterio negeri Melaka. Alhamdulillah jumpa! Balik terus masukkan dalam periuk, air sedap² tenggelam aje sabun tu. Masak sabun tu sampai cair.Jenuh nak tunggu cair. Ni lah hasilnya.
Ini bukan air F&N yarr..ini sabun cap kapak tadi yang telah di cairkan. Jangan nak gatai minum lak. Hah tu yang belakang tu boleh makan (rempeyek..Ahaks!) Pencairan 1:5 (1 sabun: 5 air). Mengikut kajian kawan², alkali dalam sabun ni dipercayai secara biologinya dapat melemahkan  telur serangga perosak sebab kan serangga perosak ni dahlah kerjanya merosakkan tanaman, siap duk lagi kat daun beranan pinak. Jadi bila dah lemah, dah tak boleh menetas la..kan dah takde zuriat maka berakhirlah "Legacy" serangga tu. Seranggakan jangka hayatnya pendek je. Emm..ada kebenarannya jugak walaupun tidak disahkan secara saintifik. Sukatannya, sikit je guna 1 sudu besar: 10 liter air.

Dettol



Sememangnya telah diketahui cecair ni membunuh kuman , fungus, kulat dan bakteria. Tak perlulah saya terangkan secara panjang lebar apa kebenda cecair ni. Semuanya telah diketahui umum. Cuma keberkesanannya keatas pokok adalah ianya membunuh kulat dan bakteria yang memudaratkan pokok. Dia macam Piung! piung! itu bakteria. Tapi mahai sikit cecair ni..jangan guna banyak².. sukatannya saya biasa guna 3 sudu teh untuk 10 liter air. Kalau gambar dettol yang saya paparkan kat atas tu, 2 penutuplah. Jangan banyak sangat nanti overdosage pulok!

Garlic Oil (Buatan sendiri..hehe)


Untuk makluman pembaca, garlic (bawang putih) ni memang paling sangat berkesan untuk menghalau serangga perosak. Sifat baunya yang keras amat tidak disukai oleh trip dan hamama (nama serangga perosak). Jadi memang sesuailah ianya dijadikan kawalan serangga. Untuk balang sekecil itu saya guna 15 labu bawang putih. Dikisar bersama minyak jagung. Minyak masak berasaskan sawit pun boleh juga cuma saya suka guna minyak jagung kerana ianya lembut dan tidak terlalu pekat.Kenapa guna minyak tak guna air? OO soalan yang bagus dari pembaca osem! Ini kerana untuk memastikan baunya itu "last longer" kat daun walaupun hari hujan.Kan sifat minyak itu melekat dan tidak bercampur dengan air. Cuma jangan letak terlalu banyak takut² minyak tersebut akan menutupi liang sel pernafasan didaun. Nanti len pulak jadinya! Sukatannya adalah 3 sudu teh : 10 liter air.
Biasanya untuk aktiviti menyembur kawalan serangga perosak, biasanya saya lakukan dengan mencampur kesemua bahan² diatas sekali gus, melainkan kawalan serangga organik Gemilang Agro yang saya selalu berselang-seli mencampurkannya. Maksudnya sekiranya semburan 3 kali seminggu, yang ketiga itu dicampurkan kesemuanya.

Broguard

 
Broguard adalah terdiri dari jenis "Racun Serangga Organik" yang mana ia merupakan kaedah penghapusan makhluk perosak secara organik (dan biologi). Bahan ini saya gunakan apabila pokok telah mengalami masalah perosak. Kalau pokok belum mengalaminya, amat jarang saya gunakan sebagai kawalan kerana harganya yang amat mahal. Walau bagaimanapun, setakat ini ia amat berkesan sekali (Dengan izin Allah).

Cuka Kayu (Wood Vinegar)




Cuka kayu dapat membantu mengawal makhluk perosak secara biologinya. Baunya yang agak keras dan kuat dapat menghalang perosak seperti Aphids dan White Fly dari mendominasi pokok kita. Selain daripada pengawal makhluk perosak, cuka kayu juga memberikan nutrien dan menolong penyerapan nutrien dari akar dan daun.  Kadar konsentrasi untuk akar (dituang ke akar) adalah 1:500 dan kadar semburan foliar (selain cili) adalah 1:300 (untuk cili adalah 1:400).

Bio-One Plus

Mengandungi 7 fungsi selain kawalan serangga perosak, juga sebagai foliar untuk tumbesaran, bunga dan buah. 




Banyak juga kawalan serangga organik yang disyorkan oleh rakan² sealiran yang telah menggunakan produk² tersebut. Antaranya:


Produk SRI ,Minyak Neem http://romatechagro.blogspot.com/2012/01/senarai-harga-kawalan-serangga-organik.html dan banyak lagi yang boleh dicari dalam internet.


Secara kesimpulannya, dapat saya rumuskan bahawa pengunaan kawalan organik dan biologi berasaskan tumbuhan dan kimia yang tidak memudaratkan adalah perlu kerana racun kimia bukan penyelesaian tetapi "disaster!". Usaha kearah research, search, try in error adalah perlu dilakukan secara berterusan supaya penggunaannya perlu dioptimumkan dengan kos bahan yang murah dan atas kemampuan petani. Selain tanggungjawab petani mengaplikasikan sepenuhnya kawalan organik untuk menjamin hasil yang diperolehi pengguna di akhirnya supaya ianya menjamin kesihatan dan secara tidak lansung adalah usaha petani untuk mencari keberkatan dari Ilahi. Sekuat mana racun kimia yang digunakan, semua atas ketentuan Allah. Nak bagi orang makan mesti dari hati dan bahan² yang bersih lor..ianya bukan sebab keuntungan semata-mata tetapi keredaan Allah itu yang perlu digapai dan sangat bermakna!
Jazakallah -Rizal-